Sunday, September 11, 2011

Petikan akhbar - NPNG mahu lahirkan ramai atlet tempatan

PETALING JAYA 11 Sept. - Penduduk Damansara Damai dianggap bertuah apabila memiliki sebuah pusat sukan No Pain No Gain (NPNG) yang disediakan oleh pemaju berhampiran kediaman mereka untuk penduduk beriadah.
 
Pengarah NPNG, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, penubuhan pusat sukan itu diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet tempatan terutama dalam sukan bola sepak.
 
Menurutnya, penubuhan pusat sukan yang disediakan oleh Excellent Escapade Sdn. Bhd. itu tepat pada waktunya kerana penduduk memerlukan kawasan riadah yang sesuai di kawasan yang pesat membangun itu.
 
"Pusat sukan ini akan menjadi tumpuan penduduk Damansara Damai yang dianggarkan 100,000 orang. Ini adalah cara terbaik bagi pihak kami menyumbang kembali kepada masyarakat setempat," katanya selepas majlis perasmian pusat sukan itu yang disempurnakan secara bersama oleh beliau dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman di sini hari ini.
 
NPNG yang seluas 9,704 meter persegi menyediakan dua gelanggang futsal seluas 1,080 meter persegi dengan dua jenis permukaan berbeza dan bertaraf antarabangsa. Salah satu daripadanya dinamakan Chelsea Blue astroturf-pitch sempena kedatangan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke situ sempena jelajah mereka ke Asia baru-baru ini.
 
Pusat sukan bernilai RM1.6 juta itu yang siap dibina Julai lalu turut menyediakan padang bola sepak luar dewan, menjadikannya pusat sehenti untuk aktiviti rekreasi, sukan dalam dan luar dewan.
 
Kata Mustapha Kamal, NPNG menawarkan kemudahan itu secara percuma untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun.
 
"Saya percaya pusat ini bakal menjadi penggiat utama kanak-kanak di sini untuk menceburkan diri dalam bidang sukan," katanya.

No comments:

Post a Comment