Thursday, August 16, 2012

Hadith Berkaitan Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum.

Bersama ini disertakan koleksi hadith berkaitan Hari Raya Aidilfitri buat rujukan kita semua. Semoga hadith-hadith yang disertakan dalam coretan ini dapat memberi kita panduan tentang cara yang betul untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berlandaskan ajaran Islam.

Kewajiban Berpuasa dibulan Ramadhan

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).

Hiasilah Hari Raya Dengan Takbir

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.

Bulan Hari Raya

Dari Abu Bakrah r.a bahawa Nabi saw. bersabda: Dua bulan yang terdapat hari raya, harinya tidak berkurang; hari raya Ramadhan dan bulan Zulhijah.

Haram Berpuasa

Dari Umar bin Khathab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Idul Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji.

Hari Raya: Hari Untuk Bergembira

Dari Aisyah r.a katanya:Abu Bakar datang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar:Kenapa sampai ada seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w ? Hari itu adalah hari’Id. Maka bersabda Rasulullah s.a.w:Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya (˜Id) dan hari ini adalah hari raya kita.

Sekadar Untuk Berhibur di Hari Raya;

Dari Aisyah r.a katanya:Ketika hari raya, orang-orang Habsyi datang ke masjid mempertunjukkan permainan pencak silat. Lalu Rasulullah s.a.w memanggilku dan kuletakkan kepalaku di bahunya. Aku ikut menonton pertunjukkan itu hingga aku puas melihatnya.

Sembahyang Hari Raya

Daripada Abi Said al-Khudri, r.a. katanya: Biasanya Nabi Muhammad SAW keluar ke tanah lapang pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, maka perkara yang mula-mula dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan sembahyang (sembahyang hari raya) kemudian (setelah selesai sembahyang), Baginda bangun mengadap orang ramai (untuk berkhutbah) sedang mereka (jamaah) tetap duduk dalam saf masing-masing, lalu Baginda menasihati mereka dan berwasiat (supaya mereka sentiasa bertaqwa) serta menyuruh mereka (tetap taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya).

Amalan Di Malam Hari Raya

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.

Kewajipan Membayar Zakat

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.

Sumber: JAKIM

 

Tuesday, August 14, 2012

Malam penuh rahsia

LAILATULQADAR adalah malam yang penuh dengan rahsia. Hanya Allah mengetahui bila ia terjadi.

Rasulullah s.a.w sangat menggalakkan umatnya mencari peluang beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Carilah malam lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).

Dalam mengharapkan lailatulqadar, kita sepatutnya membuat persediaan ilmu supaya dapat beramal ibadat dengan ikhlas kerana Allah.

Aisyah bertanya kepada Rasulullah : “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbu al-afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).


Alangkah bertuah mereka yang dapat ‘bertemu’ malam lailatulqadar kerana Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar menyamai ibadah beriktikaf selama 1,000 bulan atau 83 tahun bagi orang yang beramal pada malam itu.


Imam Hasan al-Basri, berkata antara tanda malam lailatulqadar ialah suasana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin.

Air laut juga kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup.

Dalam Sahih Muslim dinyatakan pada malam lailatulqadar, 70,000 malaikat akan turun dari Sidratul Muntaha ke bumi.

Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung.

Malaikat akan naik semula ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari menyebabkan suasana di bumi terasa dingin dan tenang.

Bagi yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan teruskan berdoa sepanjang hari.

Jangan dilupa, ibadah di bulan Ramadan ini bukan hanya untuk kita lakukan berseorangan. Ajak sekali ahli keluarga dan menunaikan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir.

Rasulullah menjadikan ahli keluarga sebagai keutamaan, malah berkongsi sesama ahlinya menghidupkan malam terakhir Ramadan. Tidak cukup juga bagi ibu bapa yang melaksanakan ibadah sedangkan anak dibiarkan terus leka dengan keseronokan.

Didikan yang betul pada peringkat awal usia anak menghadapi Ramadan menjadi asas penting bagi mereka beristiqamah dengan fahaman puasa sebenarnya bukan hanya sekadar berlapar dan dahaga saja.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, lailatulqadar adalah kurniaan istimewa daripada Allah untuk orang terpilih di kalangan umat Nabi Muhammad.

“Jika ia satu kurniaan, sudah tentu penerimanya perlu mempunyai hubungan baik dengan si Pemberi. Sesuatu yang istimewa tentulah diberi keutamaan kepada ‘penerima’ yang kenal rapat oleh si Pengurnianya.

“Analogi ini menyatakan, jika ingin bertemu dengan lailatulqadar, seseorang perlu merapatkan hubungan dengan Allah yang memberi anugerah di malam itu,” katanya.

Beliau berkata, tiada sumber sahih menjelaskan tanda lailatulqadar sebaliknya Nabi Muhammad memberi panduan supaya mencarinya di 10 malam terakhir Ramadan.

“Ia dorongan supaya kita berusaha keras beramal dalam tempoh itu moga-moga salah satu daripadanya adalah lailatulqadar.

“Hikmah Allah tidak menzahirkan lailatulqadar atau tandanya secara khusus untuk memastikan hamba-Nya beribadat kerana Allah bukannya sempena malam itu saja,” katanya.

Menurutnya, Allah menilai perbuatan hamba-Nya secara holistik dengan memberi ganjaran sejajar dengan apa yang mereka usahakan.

“Meningkatkan ibadah secara bermusim dengan mengharap ganjaran maksimum adalah telahan yang tidak menepati tuntutan Allah,” katanya.

Rahimi berkata, tidak dinafikan jiwa yang kotor menyebabkan seseorang hamba itu jauh daripada Tuhannya.

“Namun, Allah sentiasa membuka pintu pengampunan buat hamba-Nya supaya sentiasa bertaubat bagi membersih jiwa dengan beribadat.

“Tidak mustahil, malaikat membawa rahmat pada malam lailatulqadar akan mendekati golongan yang menghidupkan malamnya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata, hamba Allah yang terpilih mendapat lailatulqadar itu terlalu istimewa di sisi Allah.

“Mereka sentiasa dalam peliharaan-Nya dari melakukan dosa, maksiat serta dijauhkan daripada hasutan iblis dan syaitan.

“Pemeliharaan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara termasuk melalui malaikat ‘hafazah’ yang menjaga kehidupan hamba itu. Namun, mereka bukan maksum, cuma dorongan nafsu ke arah kejahatan itu semakin melemah,” katanya.

Petikan dari Harian Metro. Artikel ini disiarkan pada : 15/08/2012